Boon Siew Honda (BSH) Malaysia melalui akaun media sosial mereka telah mendedahkan satu teaser yang menunjukkan gambar gelap pandangan dari belakang sebuah model baru yang diberitahu akan muncul di Dataran Sri Jempol bersempena pusingan Cub Prix di sana hujung minggu ini.
Jika mahu membuat tekaan, bentuk keseluruhan model di dalam gambar teaser ini kelihatan seperti sebuah skuter dengan terdapat seakan poket barangan di bahagian pemegang, sementara lampunya pula kelihatan seperti Vario 150.
Sejak Vario 160 dilancarkan untuk pasaran Malaysia November tahun lalu, Vario 150 sudah tidak dijual dan ia juga sudah tidak lagi dipaparkan dalam laman web rasmi BSH. Jika benar ini adalah sebuah Vario, adakah ia akan membuat kemunculan semula, atau mungkin dalam versi berenjin kapasiti lebih rendah?
Di pasaran negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, Vario 125 masih dijual bersama dengan Vario 160 dan ia dijadikan sebagai pilihan untuk mereka yang mencari sebuah skuter lebih mampu milik dengan beza harga sekitar RM2k.
Dalam barisan produk skuter yang ditawarkan oleh BSH sekarang, model paling kecil adalah Beat, dengan kapasiti enjin 109.5 cc dan harga RM5.8k tidak termasuk insurans. Model lain adalah seperti Vario 160, ADV 160 dan Forza 250.
The post Boon Siew Honda siar teaser model baru – lagi Vario? appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae