Di Auto Shanghai 2023 ketika ini, antara model yang mendapat perhatian ialah Chery Omoda 5 EV. Ia versi elektrik bagi SUV Omoda 5, dan kini kelihatan seperti menghampiri peringkat akhir pengeluarannya. Lebih menarik, Omoda 5 EV ini juga akan masuk ke pasaran Malaysia, dengan pengenalannya dijangka berlangsung pada penghujung 2023.
Hal ini dikongsikan oleh pegawai Chery Malaysia yang ditemui di sana, yang menambah bahawa SUV EV berkenaan akan dibawa masuk sebagai unit CBU dari China. Ini berbeza daripada Omoda 5 enjin petrol yang dipasang di sini, dan akan dilancarkan tak lama lagi sebagai unit CKD.
Perincian rasmi tentang Omoda 5 EV masih samar-samar, tetapi pada Julai 2022, Chery Malaysia pernah mengeluarkan borang kaji selidik berkaitan Omoda 5 EV, menyatakan perincian seperti output 150 kW (204 PS) dan 400 Nm, dengan bateri 64 kWh dan jarak perjalanan WLTP sejauh 450 km. Turut disebut ialah pengecasan pantas DC dari 0-80% SOC dalam masa 40 minit dan pengecasan AC dalam masa lima jam.
Berbanding Omoda 5 versi biasa, model EV mempunyai wajah depan yang berbeza: tiada corak gril yang menonjol, yang digantikan dengan penampilan lebih ringkas yang tertutup. Omoda, sub-jenama Chery di China, nampak dieja dengan jelas di situ. Rim aero juga mengenakan penyudah dua-tona.
Di dalam, unit yang dipamerkan ini menunjukkan skim warna yang menarik dengan biru menjadi warna utamanya, dan kontras dengan jahitan kuning serta kemasan kayu yang nampak segar. Di setereng masih menampakkan nama Chery, serta papan pemuka moden disediakan dengan skrin besar dan slot telefon. Tiada tuil gear yang sama seperti model bukan EV-nya yang kelihatan.
Berapa agaknya harga Omoda 5 EV ini bila sampai di Malaysia nanti?
The post Chery Omoda 5 EV tampil di pameran Shanghai Auto Show 2023, bakal tiba di Malaysia hujung tahun ini appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae