Penganalisis PublicInvest Research, Sabrina Edora meramalkan harga siling untuk petrol RON95 dan diesel berpotensi naik secara berperingkat menjelang hujung tahun ini. Buat masa sekarang, harga siling untuk kedua-dua bahan api tersebut masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter menerusi subsidi yang diberikan oleh kerajaan.
Sabrina menjelaskan bahawa kenaikan secara beransur-ansur itu mungkin akan terjadi berikutan semakan semula harga yang akan dibuat. Menurutnya lagi, harga sebenar RON95 dijangka mencecah kira-kira RM3.22 seliter jika tanpa subsidi petrol berbanding RM2.05 seliter ketika ini.
“Selain itu, kami menganggarkan bahawa penghapusan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.45 hingga 0.75 mata peratusan tambahan setiap tahun,” katanya dalam satu nota penyelidikan yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.
“Kabinet sudah bincang isu subsidi bersasar RON95 dan diesel yang akan dilaksanakan tahun depan. MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) sudah dimaklumkan, segera teliti semua data daripada pelbagai agensi kerajaan supaya dapat disepadukan dengan sistem PADU yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Ia bagi selaras semua data pelbagai agensi kerajaan yang ada. Apabila kita kuat kuasakan subsidi bersasar ini, kita akan pastikan ia benar-benar tepat sasarannya, tiada ketirisan. Itu yang kita harapkan,” kata menteri berkenaan.
The post Harga RON 95, diesel mungkin naik berperingkat menjelang hujung tahun ini – Penganalisis appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae