Ketika membuat penampilan sulung global di Indonesia pada November tahun lalu, SUV segmen-B Honda WR-V hanya hadir dengan pilihan kotak gear CVT. Dan kini setelah sekitar enam bulan dijual, pembeli di Indonesia kini ditawarkan pula dengan WR-V yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.
Walau bagaimanapun, kotak gear manual ini hanya boleh dipilih menerusi varian paling asas iaitu WR-V E MT. Ia dijual pada harga Rp 269.4 juta (RM83k), lebih murah berbanding WR-V E CVT yang dijual pada harga Rp.271.9 juta (RM84k).
“Honda WR-V E transmisi manual ini kami tawarkan untuk memenuhi permintaan pelanggan, terutamanya dari luar Pulau Jawa yang ada keperluan dan keadaan bentuk muka bumi yang lebih bervariasi. Dengan tetap menampilkan pelbagai kelebihan dari Honda WR-V, kami percaya varian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dengan nilai yang lebih besar bagi pelanggan.” kata pengarah pemasaran jualan dan inovasi perniagaan PT Honda Prospect Motor, Yusak Billy.
Kedua-dua varian E MT dan CVT ini berkongsi perincian yang sama. Antaranya ialah rim aloi 16-inci kemasan perak, lampu hadapan halogen, lampu kabus LED, bar LED pada lampu kombinasi belakang dan cermin sisi lipatan berkuasa.
Manakala dalam kabin, kedua-duanya juga menerima kelengkapan seperti skrin sesentuh kapasitif 7-inci untuk sistem infotainmen Display Audio, hubungan telefon pintar, suis arahan suara, empat pembesar suara, port kuasa untuk tempat duduk belakang, dan juga sistem penghawa dingin dengan kawalan digital.
Kesemua varian WR-V dijana dengan enjin 1.5 lite DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm serta tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm – didakwa sebagai paling berkuasa dalam kelasnya. Tiga warna badan ditawarkan untuk WR-V E MT dan CVT ini iaitu Crystal Black Pearl, Meteoroid Gray Metallic, dan Taffeta White.
Thailand juga telah menerima Honda WR-V yang diimport dari Indonesia ini. Honda Malaysia sudah pun mengesahkan WR-V turut akan dilancarkan di pasaran tempatan pada suku ketiga tahun ini. Berdasarkan imej spyshot yang dilihat serta strategi yang lazimnya digunakan oleh Honda Malaysia, WR-V dijangka turut akan diproduksi secara tempatan (CKD) menerusi kilang Honda di Pegoh, Melaka.
GALERI: Honda WR-V 2023 varian RS dan E pasaran Indonesia
The post Honda WR-V 2023 dengan kotak gear 6-kelajuan manual kini dijual di Indonesia dengan harga RM83k appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae