Bagi membantu golongan B40, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang mewujudkan kemudahan pinjaman pembiayaan pembelian kenderaan dan insurans di bawah inisiatif Payung Rahmah.
Menurut Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, beliau akan mengadakan beberapa libat urus bersama institut perbankan dan syarikat insurans, bagi memperhaluskan inisiatif tersebut, laporan Bernama
“Insya-Allah akan ada insurans Rahmah yang boleh ditawarkan kepada rakyat yang memang tidak mampu beli kereta baharu dan hanya mampu beli kereta terpakai, tetapi ada skim perlindungan untuk kereta mereka,” katanya kepada pihak media hari ini.
Untuk merealisasikan cadangan tersebut, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk menyatakan hasratnya bertemu dengan tokoh-tokoh perbankan.
Tambah beliau, Zafrul yang juga bekas Menteri Kewangan, memberi pandangan positif terhadap konsep tersebut serta bersedia memberi kerjasama bagi menjayakannya.
Jika perkara ini berjaya direalisasikan, pastinya memberikan kelegaan buat golongan B40 yang memerlukan kenderaan sendiri sebagai pengangkutan utama, walau pun sekadar memiliki kenderaan terpakai. Selain itu, ia juga dilihat dapat membantu meringankan beban mereka dalam memperbaharui insurans kenderaan.
Apa pun, diharap pihak pembankan yang terlibat lebih munasabah dalam mewujudkan terma dan syarat, serta tidak membebankan pengguna di kemudian hari, termasuk berkaitan dengan peningkatan kadar OPR.
The post KPDN cadang wujudkan kemudahan pinjaman pembiayaan kenderaan dan insurans untuk bantu B40 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae