Pada 8 Jun ini, Lexus akan mendedahkan sebuah SUV yang dipanggil sebagai TX. Sebuah penambahan baru dalam barisan model mereka, TX akan datang dengan tetapan tiga baris tempat duduk, dan dikatakan bakal menggantikan tempat RX L yang pengeluarannya telah pun dihentikan.
Setakat ini masih belum banyak perincian berkenaan TX, tetapi ada yang melaporkan ia menggunakan asas daripada Toyota Grand Highlander yang dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Gambar teaser yang dikeluarkan memberi kita petunjuk awal rupa SUV ini, yang sememangnya mempunyai persamaan dengan Grand Highlander – tetapi dengan perincian tersendiri.
Dalam keadaan yang terkini, Grand Highlander mencatat ukuran 5,116 mm panjang, 1,989 mm lebar, 1,781 mm tinggi dan jarak roda 2,946 mm. Sebagai perbandingan, RX L yang menggunakan asas daripada RX generasi keempat sebelum ini mempunyai ukuran jarak roda 2,790 mm, panjang 5,000 mm, lebar 1,895 mm dan tinggi 1,700 mm.
Sekiranya dimensi TX adalah hampir sama dengan Grand Highlander, ia sepatutnya menawarkan lebih banyak ruang berbanding RX L. Sebelum ini Lexus tidak menawarkan RX versi jarak roda panjang, dan sebab itulah sekarang TX dibuat.
Salah satu daripada gambar teaser yang disiar juga menunjukkan bahagian dalam TX, menampakkan susunan tempat duduk 2-2-2, dengan baris tengah menggunakan tempat duduk berasingan dan masin-masing mempunyai perehat tangan sendiri.
Kita juga boleh melihat sedikit bahagian hadapan, yang mempunyai perehat tangan serta banyak butang untuk mengawal pelbagai fungsi kenderaan pada konsol tengah. Gambar panel pintu pula menunjukkan model ini akan datang dengan sistem buka pintu elektronik e-Latch, sistem bunyi Mark Levinson serta skrin sesentuh untuk sistem infotainmen.
The post Lexus TX 2024 akan muncul 8 Jun ini – SUV dengan tiga baris tempat duduk, ganti model RX L lama? appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae