Nissan Fairlady Z (atau Nissan Z di Amerika Syarikat) generasi baharu dengan kod casis RZ34 telah didedahkan untuk peringkat global pada Ogos 2021. Model ini nampaknya hanya dijual di pasaran Jepun dan AS, dan langsung tiada bayang bahawa ia akan turut dipasarkan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Jadi jika anda nak lihat ‘Devil Z’ versi moden ini, jangan lupa untuk datang ke Tokyo Auto Salon KL yang berlangsung pada Jun nanti, kerana penala Jepun Trust/Greddy sudah mengesahkan bahawa ia akan turut ke KL membawa Greddy Stance RZ34!
Kereta ini masih digerakkan enjin asal RZ34 iaitu unit VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo. Namun berbanding versi standard yang menjana 400 hp dan tork maksima 475 Nm, enjin pada Greddy Stance RZ34 ini telah diubahsuai bagi mengekstrak kuasa maksima sehingga 652 ps.
Tiada perincian apa yang dibuat pada enjin tersebut, namun ia disahkan menerima sistem ekzos lengkap GReddy Power Extreme R.
Kuasa masih disalurkan ke gandar belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan manual. Namun bagi menyampaikan kuasa berkenaan dengan lebih efisien, ia kini telah menggunakan set klac yang masih dalam peringkat prototaip OS Giken, serta unit LSD asal juga telah dibuka dan digantikan dengan komponen dari OS Giken.
Bahagian paling menyerlah pada Greddy Stance Z34 ini sudah tentulah pada penampilan luarannya kerana ia dipadankan dengan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny rekaan Kei Miura dari Tra Kyoto. Kit ini hadir dengan bampar hadapan bersama dengan muncung lebih rendah, bersama gril bawah yang kini berbentuk trapezoid terbalik.
Bampar berkenaan turut datang dengan spoiler bawah dan juga canard udara yang agresif. Walaupun ia masih menggunakan lampu hadapan standard, rekaan bampar ini telah pun menghilangkan rupa sebuah Fairlady S30Z klasik yang menjadi inspirasi pereka Nissan dalam menghasilkan model generasi baharu ini.
Di belakang, bamparnya dirombak semula bagi memberikan diffuser yang lebih agresif bersama ruang untuk menempatkan sepasang tip sistem ekzos GReddy Power Extreme R. Manakala spoiler ‘ekor itik’ asal turut telah dibuka dan diganti dengan unit lebih besar.
Keempat-empat ruang roda Fairlady ini diberikan overfender yang lebih lebar. Namun sedikit berbeza dari rekaan-rekaan Kei Miura sebelum ini, ia tidak mendedahkan bahagian rivet cantuman, dan pada bahagian atas ruang roda tersebut kini direka lebih rata. Skirt sisi juga telah dipadankan dengan unit lebih lebar bagi disesuaikan dengan kesemua fender berkenaan.
Rupa luaran kereta ini dilengkapkan dengan set rim Work Meister S1 berdiameter 19-inci, dengan lebar 10.5J (offset -46) di hadapan serta 12j (offset -65) di belakang, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 265/30R19 di hadapan dan 295/30R19 di belakang.
Berbeza dengan demo car Trust/Greddy lain yang lazimnya akan dipadankan dengan penyerap hentak boleh laras keluaran mereka sendiri, Greddy Stance RZ34 ini diberikan suspensi udara yang dihasilkan oleh Air Lift Performance. Ini membolehkan badan kereta ini bebar-benar rapat ke permukaan tanah apabila sedang parkir, dan ditinggikan semula untuk berjalan.
Pada sebelah dalam, ubahsuai yang dibuat agak ringan. Tempat duduk asal Nissan Fairlady Z ini telah dicabut dan diganti dengan tempat duduk bucket Bride edrib, dan ia turut dilengkapkan dengan set tali pinggang perlumbaan dari Greddy.
Jadi jika anda nak lihat Greddy Stance RZ34 ini, jangan lupa untuk dapatkan tiket Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang telah pun mula dijual di laman web rasminya. Acara ini akan berlangsung di dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Jun 2023.
Selain Trust/Greddy, antara penala Jepun lain yang sudah disahkan akan menyertai acara ini termasuk Top Secret, RE Amemiya, Spoon dan HKS. Malah pengasas Top Secret, Smoky Nagata juga merupakan antara ikon penala JDM yang dijangka akan turun ke TASKL 2023 ini.
The post Nissan Fairlady RZ34 Greddy Stance sah ke Tokyo Auto Salon KL 2023 – 659 ps, kit badan Rocket Bunny appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae