Akibat membenarkan kenderaan asing mengisi petrol RON95 bersubsidi, seorang pengusaha stesen minyak didenda sebanyak RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, lapor Astro Awani.
Pemilik stesen minyak berkenaan, Phan Chib Chan, 59 tahun dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan kesalahan itu empat tahun lalu. Pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Laporan akhbar berkenaan menyebut, mengikut fakta kes Chib Chan didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak miliknya yang terletak Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4 Johor Bahru pada 13 Mei 2019, lebih kurang jam 10.40 pagi.
Dia didakwa membenarkan pengisian petrol bersubsidi RON95 ke atas kereta jenis BMW bernombor pendaftaran Singapura, sebanyak 54 liter bernilai RM113.30. Perbuatan itu melanggar peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan sama.
Kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff. Dalam penghujahan berkenaan, Raja Nor Iklas memaklumkan ini bukan pertama kali Chib Chan didapati bersalah kerana sebelum ini dia telah dua kali dikenakan kompaun atas kesalahan yang sama.
The post Pengusaha stesen minyak di JB didenda RM40k kerana benarkan kenderaan asing isi petrol RON95 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae