PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan bahawa bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan USJ-Seafield terutamanya pada waktu puncak di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), pihaknya akan mengadakan ujian rintis awam SmartLane di laluan terbabit bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2023.
Di mana ujian rintis awam laluan SmartLane ini akan dilaksanakan di laluan USJ ke Seafield di antara KM8.1 hingga KM6.1 (Arah Utara) di lebuhraya ELITE mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Ahad (kecuali hari kelepasan am).
“Ujian rintis awam ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya,” kata Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.
Sepanjang tempoh tersebut, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada dan membantu melancarkan trafik pada waktu puncak pagi.
“Ketika laluan SmartLane ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan.
“Berdasarkan kajian dan rekod PLUS, pertembungan trafik serta keadaan jalan yang sedikit mendaki menyebabkan peningkatan trafik yang tinggi dan sedikit perlahan di laluan tersebut. Oleh yang demikian, langkah proaktif PLUS melaksanakan ujian rintis awam laluan SmartLane di kawasan terbabit adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh orang ramai pada waktu puncak setiap pagi pada hari-hari bekerja di Lebuhraya ELITE, di samping membantu PLUS memperbaiki tahap perkhidmatan kami di lebuh raya,” jelas Mohd Yusuf lagi.
Menurutnya, PLUS juga telah melakukan pelbagai persediaan untuk melaksanakan inisiatif ini dengan pemantauan oleh anggota Polis, JPJ dan pasukan PLUSRonda serta memasang papan tanda trafik dan menyediakan trak tunda tambahan di lokasi sekiranya berlaku kecemasan.
“Secara puratanya, kira-kira 75,000 kenderaan menggunakan laluan USJ-Seafield di Lebuhraya ELITE pada setiap hari. Daripada jumlah tersebut, 58% menggunakan laluan terbabit secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi,” tambah Mohd Yusuf.
Beliau turut berkata, laluan SmartLane dijangka dapat memendekkan tempoh perjalanan di laluan terbabit pada waktu puncak sekiranya tiada sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan SmartLane ini melalui papan tanda laluan SmartLane serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik.
Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit.
The post PLUS uji SmartLane di laluan USJ-Seafield Lebuhraya Elite mulai 1 Jun-31 Ogos untuk waktu puncak pagi appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae