Ibu kota Kuala Lumpur terus menjadi tumpuan orang ramai selain warga kota sendiri untuk pelbagai urusan termasuklah membeli-belah sekaligus mengundang kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak. Malah menjelang Aidilfitri ini, ia dijangka makin sesak dengan pertambahan jumlah trafik yang merekodkan satu juta kenderaan yang keluar masuk ke ibu kota saban hari.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, jumlah kenderaan itu dijangka terus meningkat pada 8 April ini kerana cuti hujung minggu yang mana masyarakat akan membanjiri pusat bandar untuk membeli belah keperluan sempena Aidilfitri yang bakal tiba.
Walau bagaimana pun, katanya, polis tetap akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas, laporan Harian Metro.
“Kesalahan lalu lintas seperti memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan pengguna jalan raya antara yang dikenal pasti menyebabkan kesesakan.
“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas di mana selain saman, polis juga akan menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas bagi mengelak kesesakan. Masyarakat digalakkan menggunakan kemudahan pengangkutan awam yang disediakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam sidang media semalam.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan merancang perjalanan sebaiknya untuk keluar membeli barangan dan menjadi pengguna jalan raya berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengurangkan kesesakan.
“Pihak polis akan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar pusat bandar,” tambahnya lagi.
The post Sejuta kenderaan keluar-masuk KL setiap hari menjelang Aidilfitri; hukuman menanti pesalah trafik appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae