Media-media di Indonesia sudahpun menerima jemputan dari Toyota untuk ke majlis pendedahan sebuah SUV serba baharu di sana pada 15 Mei ini, iaitu pada hari Isnin minggu hadapan.
Menurut laporan Autonetmagz, jemputan yang dihantar oleh Toyota Astra Motor (TAM) itu tidak menyatakan nama sebenar SUV berkenaan. Tetapi ia ada menyebut ini adalah ‘kemunculan sulung global’ (world premier) untuk sebuah SUV yang disifatkan sebagai ‘Ikon Urban Cruiser baharu Toyota’.
Walaupun ada menyebut nama ‘Urban Cruiser’, SUV yang bakal didedahkan di Indonesia ini tiada kaitan dengan Toyota Urban Cruiser atau Urban Cruiser Hyryder untuk pasaran India yang dihasilkan dengan kerjasama Maruti Suzuki. Ini kerana dengan jelas Toyota menyatakan bahawa ia adalah model baharu yang akan didedahkan buat pertama kali untuk peringkat dunia, belum ada di mana-mana pasaran.
Bagi pasaran Indonesia, ia dijangkakan adalah sebuah SUV berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang akan digelar sebagai Toyota Yaris Cross, seperti disebut laporan-laporan sebelum ini. Ia adalah model yang dibangunkan untuk pasaran ASEAN, berbeza dengan Yaris Cross untuk pasaran Eropah dan Jepun yang sudahpun diperkenalkan sejak tahun 2020.
Namun bagi kita di Malaysia, ini mungkin ada kaitan dengan SUV yang sedang dibangunkan oleh Perodua sejak tahun lalu yang hanya dikenali dengan kod projek D66B. SUV yang lebih besar dari Ativa tersebut dijangka akan dilancarkan oleh Perodua disini pada tahun hadapan.
Ini kerana perincian awalan bagi kedua-dua SUV itu dilihat sama iaitu diasaskan dari platform DNGA dalam varian DNGA-B. Platform berkenaan kini telahpun digunakan oleh dua model yang telah dilancarkan pada pasaran ASEAN iaitu kembar MPV tujuh-tempat duduk Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza serta sedan segmen-B Toyota Vios.
Tidak banyak informasi yang terdedah berkenaan kedua-dua SUV ini. Apa yang diketahui ia adalah SUV segmen-B sebenar seperti Proton X50 berbanding kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa yang saiznya lebih hampir kepada SUV segmen-A. Dan ia juga dijangka akan menggunakan kombo enjin dan kotak gear yang sama seperti Xenia/Veloz/Alza iaitu enjin 2NR-VE 1.5 liter NA bersama kotak gear D-CVT.
Seperti model-model Perodua yang lain sebelum ini, agak mustahil untuk melihat versi prototaip produksinya dilihat di uji di atas jalan raya. Namun ada beberapa lakaran digital yang dibuat beberapa individu untuk SUV segmen-B baharu ini, antaranya dua bayangan yang dihasilkan oleh Theophilus Chin.
Apa pun, kita tunggu sahaja kemunculan SUV dari Toyota ini Isnin nanti. Selepas itu rasanya bayangan untuk versi Perodua D66B mungkin akan menjadi lebih jelas.
The post Toyota bakal dedah SUV guna platform DNGA-B di Indonesia minggu depan; kembar SUV Perodua D66B? appeared first on Paul Tan's Automotive News.
* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae