Back to Top

close

Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini?

Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini?

Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini?

UMW Toyota Motor (UMWT) baru sahaja menyiarkan teaser yang menunjukkan bayangan lima kereta baharu bersama logo sayap perlumbaan dan prestasinya iaitu Toyota Gazoo Racing. Dan berdasarkan kapsyen “akan datang 17 Februari” dan “Bersedia untuk kebangkitan kerana barisan rasaksa baru akan muncul tidak lama lagi”, UMWT nampaknya bakal melancarkan lima model prestasi Toyota serentak pada minggu hadapan!

Sekali dengan imej teaser berkenaan, UMW Toyota turut menyediakan pautan bagi membolehkan anda mendaftarkan minat sekiranya berminat pada mana-mana model GR yang akan dilancarkan ini.

Tiga model GR sebenar iaitu GR Corolla, GR 86 dan GR Supra dalam versi kotak gear manual sudahpun disahkan akan dilancarkan di Malaysia tahun ini menerusi pengumuman yang dibuat oleh UMWT Disember lalu. Dan nampaknya ada dua model GR Sport iaitu varian yang diberikan penampilan lebih sporty akan turut dibawa ke Malaysia – berdasarkan bayangan pada teaser ini hampir pasti ia adalah Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport.

Bagi GR Corolla, ia sudahpun rasmi masuk ke pasaran ASEAN, dengan dilancarkan di Thailand ketika berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2022 November lalu, dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500,352). Berbanding GR Yaris yang dijual di Thailand pada harga 2.69 juta baht (RM341,021) ketika diperkenalkan pada Disember 2020, harga GR Corolla ini jelas adalah 46.8% lebih mahal.

Di Malaysia, GR Yaris dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 (RM286,896 ketika tempoh cuti cukai jualan) ketika dilancarkan juga pada Disember 2020. Jadi berdasarkan harga jualan di Thailand, GR Corolla ini kelak mungkin akan dijual di sini pada harga sekitar RM439k.

Corolla yang jauh lebih liar ini masih berkongsi kerangka yang sama dengan Toyota Corolla Hatchback, namun cara penghasilannya dibuat seperti kereta lumba di fasiliti GR Factory di Jepun bagi menghasilkan kerangka yang lebih tegar. Ia juga menampilkan suspensi dengan jarak trek lebih lebar, secara tidak langsung membuatkan badannya juga lebih berbanding Corolla standard.

GR Corolla ini disumbat dengan enjin yang sama seperti GR Yaris iaitu unit G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter. Namun ia diberikan beberapa komponen dan talaan berlainan bagi menghasilkan kuasa lebih besar pada kadar 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm, berbanding 272 PS pada GR Yaris. Walau bagaimanapun, kadar tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi tersebut adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

Juga sama seperti GR Yaris, GR Corolla hanya diberikan pilihan kotak gear enam kelajuan manual pintar (i-MT) dan turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu.

Sistem pacuan semua roda GR-Four juga dibekalkan pada GR Corolla ini, menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

Bagi GR Supra pula, model dengan kotak gear manual baru sahaja diperkenalkan pada peringkat global pada April tahun lalu. Model dengan kotak gear Intelligent Manual Transmission (i-MT) enam kelajuan tersebut hanya ditawarkan untuk model dengan enjin 3.0 liter enam silinder turbo sahaja.

UMWT telah membawa GR Supra buat pertama kali ke pasaran Malaysia pada September 2019, hanya dalam varian GTS 3.0L dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM568,000. Berapa pula harga untuk versi manual nanti? Sama-sama kita tunggu.

Untuk GR86 pula, model generasi baharu ini telahpun mula dijual di Jepun bermula Oktober 2021. Ia sebelum ini dijangka akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada tahun lalu, namun nampaknya rancangan awal tersebut telah ditunda ke tahun ini.

Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA dengan kapasiti lebih besar. Ia dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.


Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Ini membolehkan GR 86 dalam versi manual mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota GT86 generasi sebelum ini dan mencapai kelajuan maksima 226 km/j. Model automatik pula melakukan pecutan yang sama dalam masa 6.9 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 216 km/j.

Bagi Hilux GR Sport dan juga Corolla Cross GR Sport, kedua-dua model ini telah pun dilancarkan di Thailand, dan ianya hanya menampilkan tingkat taraf kosmetik semata-mata. Sebelum ini UMWT sudahpun memperkenalkan Vios GR Sport di Malaysia, dan model berkenaan hadir dengan talaan suspensi lebih sporty serta nisbah maya untuk kotak gear CVT telah diubah kepada 10-kelajuan berbanding hanya tujuh kelajuan pada model biasa.

Awal bulan ini Toyota Hilux GR-Sport telah pun dilancarkan di Australia di mana versi berkenaan bukan sahaja hadir dengan fender flare yang lebih lebar, ia turut menampilkan ubahsuai suspensi yang ekstensif serta enjin yang ditala semula bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar.

Agak-agak apa spesifikasi Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport pasaran Malaysia nanti? Kita nantikan sahaja pengumuman rasmi dari UMW Toyota nanti.

The post Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini? appeared first on Paul Tan's Automotive News.

* This article was originally published here
For Feedback & Comments, please write to us on hello@newswire.ae

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *